VERSI 1 : ASAL USUL NAMA CHENOR

Alkisah seorang perempuan yang cantik jelita tinggal di satu tempat yang sangat strategik. Sangat budiman. Sesiapa yang melalui kawasan ini yang ditimpa kesusahan atau kepayahan akan singgah di satu tebing dan akan berjumpa dengan seseorang tanpa terperasan sedang berlaku perkara yang tak dijangka seperti setelah diberi pertunjuk atau pertolongan.

Setelah beredar baru tersedar untuk bertanya lebih lanjut tetapi telah ghaib!.. Hanya sempat bertanya nama dengan jawapan lemah lembut…”Che Nor”!

Untuk penduduk di sekitar kawasan sekiranya mempunyai permasalahan (memang nyata) hanya berkata sesuatu yang diperlukan. InshaALLAH..Datanglah esoknya ditempat tersebut akan adalah barang yang dihajati disitu tetapai barang yang biasanya berkaitan kenduri-kendara seperti pinggan mangkuk, kawah atau beras.

Kepada pengguna sungai sebagai jalan utama dari Pekan atau dari Ulu Sungai apabila tiba di kawasan ini samada hari hamper gelap untuk bermalam atau dapat rapat ke tebing kerana karam perahu, akan mendapat bantuan dari seseorang yang sangat rupawan di sini yang bernama Che Nor.

Begitulah serita di sini pada suatu waktu dahulu sehingga kawasan ini terkenal dengan nama sejak zaman ‘tori’(zaman sangat lama dahulu) bernama “CHENOR”. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui….

[Tengku Hasani Bin Tengku Ahmad yang dilahirkan dan dibesarkan di daerah Chenor ini sejak 1965 mendapat cebisan cerita dari ibu saudara yang lahir tahun 1920an, Tengku Kecik Binti Tengku Nit Bin Tengku Ahmad Tinggi Pesagi]

Sumber:-Sumbangan artikel daripada Jawatankuasa Perhubungan Penduduk (JPP) Bandar Lama Chenor, YM Tengku Hasani Bin Tengku Ahmad PJM., PKJ., PPS.,PPA.,ISPU.,PBB(Bosnia Herzegovina)

 VERSI 2 : ASAL USUL NAMA CHENOR

Dipercayai nama penempatan Chenor berasal daripada seorang janda bernama ‘Che Nor’. Menurut kisah orang-orang dahulu, penduduk kampung  gemar ke kedai ‘Che Nor’.

Mereka sering menggunakan dialog:

“Mahu kemana tu?”

“Saya nak ke gerai Che Nor”.

Apabila penduduk kampung sering menggelarkan gerai ‘Che Nor’, akhirnya  wujudlah lokasi tersebut dengan gelaran “Chenor”.

Sumber:- Temubual bersama penduduk kampung 

 ASAL USUL PERKAMPUNGAN CHENOR

Perkampungan CHENOR terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu Chenor Lama & Chenor BaruDifahamkan oleh penduduk kampung, Chenor Baru adalah kawasan pengumpulan penduduk kampung ketika banjir besar melanda hampir seluruh negara dan juga negeri Pahang serta tidak terkecuali Chenor pada tahun 1971.  Pada tahun 2007, sekali lagi banjir telah berlaku di sini.  Tetapi tidak seburuk seperti tahun 1971.

Menurut penduduk kampung lagi, Chenor pernah menjadi pusat pungutan cukai yang penting. Walau bagaimanapun katanya, banyak bangunan asal telah musnah akibat dihanyutkan air banjir dari hulu yang melanda kampung itu ketika banjir besar pada tahun 1971.

Pada mulanya, Chenor terletak dalam pentadbiran Daerah Temerloh.  Tetapi kemudiannya terdapat lebih kurang 15 buah kampung tradisi di dalamnya dan telah berpindah ke dalam pentadbiran Daerah Maran yang baru diwujudkan hasil cantuman sebahagian Pekan, Kuantan dan Temerloh.

 

CHENOR DAN KERABAT DIRAJA            

Chenor pada zaman dahulu menjadi tempat persinggahan Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Pahang pada waktu itu.  Baginda Sultan menaiki perahu dari Kuala Lipis ke Pekan dan dari Pekan ke Kuala Lipis. Baginda akan singgah di Chenor setiap kali dalam perjalanan tersebut dan akan disambut oleh penduduk kampung. Terletak kira-kira 31 kilometer dari bandar Temerloh dan diberi jolokan Chenor Pekan Diraja, ketika itu makmur dan maju dan penghuninya terdiri daripada pelbagai bangsa. Wujudnya Kampung Raja di situ yang kekal hingga ke hari ini, melambangkan bermastautinnya kerabat istana di situ.

Zaman kegemilangan itu ialah ketika pusat pentadbiran Pahang oleh Residen British terletak di Kuala Lipis di sebelah hulu, manakala istana Sultan pula di Pekan di sebelah hilir. Sebagai antara penempatan awal di Pahang, Chenor juga pernah melahirkan pahlawan terkenal menentang penjajah seperti lagenda Pahlawan Bukit Segumpal. Mengikut cerita penduduk Chenor, pada masa dahulu, orang-orang Chenor juga terlibat membantu Tok Gajah dalam Perang Kelang di Selangor.

Seorang menteri besar Pahang datangnya dari sini iaitu Orang Kaya Indera Pahlawan Wan Abdul Aziz Engku Abdullah. Pejuang kemerdekaan terkenal Ibrahim Yaakob yang kemudiannya menjadi pemimpin di Indonesia, juga berasal dari Chenor. Chenor juga melahirkan dua orang Ketua Setiausaha iaitu Datuk Aziz Husin dan Datuk Yusof Yunus. ADUN Chenor, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Besar. 

Maka, tidak hairanlah jika di Kampung Raja, Chenor, bersemadinya ramai kerabat diraja Pahang serta kubur pahlawan-pahlawan Pahang pada zaman itu

                                        Kubur Pahlawan Dan Kerabat Diraja Pahang  sumber: Tinjauan Sendiri

Kubur-kubur pahlawan ini telah ditempatkan di satu tanah perkuburan.  Pada masa ini, masih ada lagi kerabat Sultan Pahang yang masih menetap di sini. 

LAIN-LAIN BANGUNAN BERSEJARAH